Saiz Huruf :   BESAR    SEDERHANA    KECIL

Cuaca di Malaysia sentiasa panas sepanjang tahun, tidak kira hari cerah atau mendung. Anda mungkin tertanya-tanya: Perlukah kita memakai krim pelindung matahari setiap hari? Krim pelindung matahari bukan sekadar produk penjagaan kulit, malah ia lebih daripada itu. Ia boleh mengelakkan kemunculan kedutan, bintik-bintik penuaan dan kulit kering, ia juga melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinaran ultraviolet daripada matahari. Oleh itu, ia merupakan langkah utama dalam pencegahan kanser kulit. Mari kita terokai lebih lanjut tentang topik ini!



Kesan Buruk Sinaran UV



Sinaran ultraviolet (UV) adalah sinaran yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan ia terbahagi kepada dua jenis utama: UVA dan UVB. UVA akan menembusi jauh ke dalam kulit lalu menyebabkan penuaan kulit dan kedutan manakala UVB adalah penyebab utama “kebakaran matahari” atau lebih dikenali sebagai sunburn, dan kegelapan kulit. Pendedahan jangka pendek secara berlebihan kepada sinaran UV boleh menyebabkan kulit terbakar, menyebabkan rasa panas dan sakit apabila disentuh. Kulit anda mungkin akan terasa gatal dan mengelupas selepas beberapa hari. Selain itu, pendedahan jangka panjang kepada sinaran UV boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih teruk seperti kanser kulit. Oleh itu, sinaran UV boleh membahayakan kulit dalam apa-apa jua keadaan cuaca. Sebab itulah penggunaan krim pelindung matahari setiap hari adalah penting untuk melindungi kulit.



Apakah itu Krim Pelindung Matahari?



Krim pelindung matahari juga dikenali sebagai krim pelindung kulit. Ia adalah produk krim luaran yang mengandungi satu atau lebih bahan pelindung yang mampu menyerap, memantulkan atau menyuraikan sinaran UV yang berbahaya daripada matahari. Kini, krim pelindung matahari boleh didapati dalam pelbagai bentuk yang mudah digunakan seperti semburan atau losyen dengan pelbagai nilai SPF untuk memenuhi keperluan yang berbeza.



Petua-petua untuk Memilih Pelindung Matahari:



1. Perhatikan Nilai SPF dan PA:



A. Apa itu SPF?



Sun Protection Factor (SPF) ialah indeks yang menunjukkan tahap perlindungan terhadap sinaran UVB. Nilai SPF yang lebih tinggi menunjukkan perlindungan yang lebih lama. Nilai ini menunjukkan masa yang diperlukan untuk kulit anda terbakar di bawah pendedahan sinaran UV berbanding jika anda tidak memakai pelindung matahari. Sebagai contoh, penggunaan pelindung matahari SPF 30 boleh memanjangkan masa kulit anda daripada terbakar kira-kira 30 kali ganda berbanding waktu anda tidak menggunakannya. Di Malaysia, anda disyorkan untuk menggunakan pelindung matahari dengan sekurang-kurangnya SPF 30 atau lebih tinggi untuk memastikan perlindungan yang mencukupi terhadap sinaran UV.



B. Memahami Tahap PA:



PA adalah penunjuk keberkesanan pelindung matahari dalam melindungi kulit daripada sinaran UVA. Sinaran UVA menembusi jauh ke dalam kulit lalu menyebabkan penuaan kulit, kedutan dan pigmentasi. Tahap PA biasanya dinyatakan dengan simbol "+". Lebih banyak simbol "+", lebih kuat perlindungan terhadap UVA.


Contohnya :


• PA+       : Memberikan perlindungan asas terhadap sinaran UVA


• PA++     : Memberikan perlindungan sederhana terhadap sinaran UVA


• PA+++   : Memberikan perlindungan tinggi terhadap sinaran UVA


• PA++++ : Memberikan perlindungan sangat tinggi terhadap sinaran UVA



2. Pilih Mengikut Jenis Kulit:



Untuk kulit kering, pilih pelindung matahari dengan tekstur yang melembapkan dan menghidratkan. Untuk kulit berminyak, pilih pelindung matahari yang ringan dan tidak berminyak.



3. Pertimbangkan Krim yang Tahan Air:



Jika anda merancang untuk melakukan aktiviti air seperti berenang atau badan anda mudah berpeluh, pilih pelindung matahari yang kalis air. Namun begitu, “tahan air” tidak bermaksud “kalis air”. Krim pelindung matahari yang tahan air perlu disapu semula mengikut arahan pada label produk tersebut.



Akhir kata, amalan penggunaan krim pelindung matahari yang baik adalah sangat penting. Selain daripada menggunakan krim pelindung matahari, kita juga boleh memakai pakaian dan aksesori pelindung matahari yang sesuai, seperti topi, cermin mata hitam dan kasut bertutup serta cuba untuk berada di tempat teduh atau menggunakan payung, terutamanya pada waktu tengah hari. Dengan mengikuti langkah-langkah mudah ini, anda bukan sahaja dapat melindungi kulit anda dengan berkesan tetapi juga mengurangkan risiko sunburn! Marilah kita mengekalkan kesihatan dan kecantikan kulit kita sambil menikmati cahaya matahari!