Saiz Huruf :   BESAR    SEDERHANA    KECIL

Dalam kesibukan hidup zaman ini, mengekalkan tabiat pemakanan yang sihat dan seimbang boleh menjadi mencabar, dan pedih ulu hati hanya membawa lagi banyak cabaran. Pernahkah anda mengalami ketidakselesaan selepas makan berat, berbaring sejurus selepas makan atau selepas makan makanan tertentu? Artikel ini akan membantu anda untuk memahami lebih lanjut tentang pedih ulu hati dan bagaimana untuk mengurangkannya dengan pengubahsuaian tabiat hidup.



1. Apakah Pedih Ulu Hati?



Pedih ulu hati, atau Refluks Gastroesofagus (Gastroesophageal Reflux, GER), berlaku apabila asid gastrik mengalir balik ke dalam esofagus lalu menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan. Pedih ulu hati boleh berkembang menjadi Penyakit Refluks Gastroesofagus (Gastroesophageal Reflux Disease, GERD), iaitu satu penyakit kronik.



2. Punca Kejadian Pedih Ulu Hati



Lower Oesophageal Sphincter (LES) adalah otot yang mengawal pengalihan makanan melalui esofagus ke dalam perut semasa pencernaan normal. Otot ini biasanya tertutup selepas makanan masuk ke dalam perut untuk mengelakkan asid gastrik daripada mengalir balik. Walau bagaimanapun, jika otot ini tidak berfungsi dengan baik atau tidak tutup dengan sempurna, asid gastrik boleh naik semula ke dalam esofagus lalu menyebabkan pedih ulu hati. Dari masa ke masa, pedih ulu hati yang berulang boleh mengganggu dan meradangkan lapisan esofagus. Hal ini berpotensi membawa kepada komplikasi yang lebih serius.



3. Gejala-gejala Pedih Ulu Hati



Gejala yang paling biasa adalah heartburn, iaitu sensasi terbakar atau kesakitan yang berlaku di dada atau tekak. Ia biasanya berlaku selepas makan dan sering menjadi lebih teruk pada waktu malam atau ketika berbaring. Gejala lain termasuk sakit di bahagian atas perut atau dada, sendawa, kembung, rasa masam dalam mulut (disebabkan oleh asid refluks), rasa seperti ada sesuatu yang tersangkut di kerongkong, kesukaran menelan, sakit tekak yang berterusan, batuk dan suara serak.



4. Bagaimana untuk Mengawal Pedih Ulu Hati?



Selain mengikuti nasihat perubatan profesional untuk merawat pedih ulu hati, perubahan gaya hidup tertentu boleh membantu mengurangkan gejala pedih ulu hati. Berikut adalah beberapa petua yang praktikal:



a. Elakkan makanan yang mencetuskan refluks asid:


· Makanan pedas, berlemak (seperti ayam goreng dan kerepek) dan kopi boleh mencetuskan refluks asid. Jika makanan tertentu menyebabkan anda merasa tidak selesa, cuba kurangkan atau elakkan makanan tersebut.



b. Makan dengan lebih kerap dalam kuantiti yang kecil:


· Makanan yang berlebihan boleh meningkatkan beban perut dan menyebabkan refluks asid gastrik. Cuba kurangkan jumlah makanan bagi setiap sajian makan dan tingkatkan kekerapan pengambilan sajian seharian untuk mengurangkan beban perut anda.



c. Makan perlahan-lahan dan kunyah dengan baik:


· Makan terlalu cepat meningkatkan risiko kejadian refluks asid. Luangkan masa untuk mengunyah makanan dengan baik dan bertenang semasa makan untuk membantu pencernaan.



d. Elakkan berbaring sejurus selepas makan:


· Elakkan daripada berbaring terus selepas makan. Sebaliknya, cuba duduk tegak atau berjalan perlahan-lahan untuk membantu pencernaan dan mengurangkan kemungkinan berlakunya asid refluks.



e. Kekalkan berat badan yang sihat dan berhenti merokok:


· Berat badan berlebihan dan merokok boleh meningkatkan risiko asid refluks. Mengekalkan berat badan yang sihat dan berhenti merokok boleh membantu mengurangkan gejala pedih ulu hati.



f. Tinggikan posisi katil:


·Tinggikan bahagian kepala anda semasa tidur untuk mengurangkan kemungkinan asid refluks.



g. Pakai pakaian longgar:


· Elakkan memakai pakaian yang ketat yang meningkatkan tekanan pada abdomen dan menyebabkan asid refluks. Pilih pakaian yang selesa untuk mengurangkan ketidakselesaan.




Dengan memahami punca dan gejala pedih ulu hati serta membuat perubahan terhadap gaya hidup, anda boleh kurangkan ketidakselesaan dan meningkatkan kualiti hidup anda. Namun, jika gejala pedih ulu hati berterusan atau semakin teruk, adalah penting untuk mendapatkan nasihat perubatan untuk rawatan profesional.