30 November 2024
Dalam artikel sebelum ini, kita telah mengetahui perkara-perkara asas mengenai artritis. Hari ini, mari kita menerokai perkara yang lebih penting—Osteoartritis! Ini adalah masalah yang biasa dihadapi oleh ramai orang, terutamanya dengan peningkatan usia. Namun begitu, ramai yang memilih untuk membisu dan menahan kesakitan sehingga terlepas peluang keemasan untuk rawatan awal. Akhirnya, hal ini akan menyebabkan mereka memerlukan rawatan yang lebih mahal pada kemudian hari.
Osteoartritis, juga dikenali sebagai penyakit sendi degeneratif. Ia adalah salah satu bentuk artritis yang paling biasa. Bayangkan jika anda membeli kereta sukan yang baru, tidak dapat disangkal bahawa anda akan teruja untuk memandunya setiap hari. Akan tetapi, selepas suatu tempoh, tayar akan haus dan begitu juga dengan bahagian kereta yang lain. Sendi kita pun sama seperti kereta tersebut. Setiap sendi mempunyai rawan yang bertindak seperti kusyen yang membantu menyerap tekanan dan mengurangkan geseran. Apabila rawan semakin haus, sendi menjadi bengkak dan dalam kes yang teruk, tulang mungkin bergesel antara satu sama lain lalu menyebabkan kesakitan dan kekakuan. Dengan kata lain, sendi kita digunakan secara berpanjangan akibat daripada aktiviti seperti berjalan setiap hari atau aktiviti harian. Hal ini boleh menyebabkan sendi kita menjadi "haus dan lusuh" lalu membawa kepada kesakitan, kekakuan atau pembengkakan yang akan memberi kesan buruk kepada pergerakan kita.
· Lutut dan pinggul: Sendi utama yang menanggung berat badan
· Sendi jari dan belakang bawah
Kesakitan osteoartritis biasanya bertambah buruk semasa pergerakan tetapi biasanya akan berkurangan dengan rehat yang mencukupi. Ramai yang berfikir bahawa osteoartritis hanya masalah warga tua, namun mereka yang berusia 50 tahun ke atas sudah berada dalam kumpulan berisiko tinggi. Golongan muda juga boleh mendapat osteoartritis pada kemudian hari sekiranya mereka pernah mengalami kecederaan sukan atau trauma yang tidak dirawat. Pendek kata, osteoartritis bukan hasil penuaan normal. Ia adalah masalah kesihatan yang tidak semestinya menjejaskan semua orang. Oleh itu, pengesanan dan pencegahan awal adalah amat penting.
Jika anda mengalami kesakitan pada lutut yang berlanjutan lebih daripada tiga bulan, kesakitan semasa pergerakan, atau ketidakselesaan semasa bangun dari tidur pada waktu pagi, anda patut memberi perhatian kepada sendi anda. Sesetengah pesakit mengalami gejala awal tetapi mereka hanya berjumpa doktor apabila kesakitan menjadi teruk. Pada peringkat ini, pembedahan penggantian lutut yang berkos tinggi mungkin diperlukan. Oleh itu, lebih baik anda berjumpa dengan doktor seawal mungkin jika anda mengalami ketidakselesaan. Jangan berlengah sebab takut membebankan keluarga. Hal ini boleh menjejaskan kehidupan harian anda.
1. Kawal berat badan: Berat badan yang berlebihan akan memberi tekanan yang berlebihan kepada lutut lalu menyebabkan rawan lebih cepat haus. Kekalkan berat badan yang sihat boleh mengurangkan tekanan pada lutut anda.
2. Bersenam secara berkala: Senaman yang sederhana, terutamanya yang tertumpu kepada lutut boleh membantu. Jangan hadkan pergerakan sebab takut sakit kerana tidak bergerak sebenarnya boleh memburukkan keadaan. Berbasikal dan berenang adalah pilihan yang baik sebab ia menguatkan otot di sekeliling lutut dan mengurangkan tekanan pada sendi.
3. Mencegah kecederaan lutut: Lakukan pemanasan yang betul sebelum bersenam dan pakai alat perlindungan seperti pelindung lutut untuk mengurangkan risiko kecederaan. Jika berlaku kecederaan, dapatkan rawatan perubatan dengan segera untuk mengelakkan masalah kecil menjadi besar.