Saiz Huruf :   BESAR    SEDERHANA    KECIL

Tahukah anda? Kulit adalah organ terbesar dalam badan kita. Ia berfungsi sebagai perlindungan, perkumuhan, pengawalan suhu dan persepsi deria serta merupakan asas kepada kecantikan atau ketampanan seseorang individu. Kini, wanita mahupun lelaki semakin menitikberatkan penjagaan kulit. Ramai orang menghabiskan banyak masa dan wang kepada produk penjagaan kulit serta pembedahan kosmetik, tetapi mengabaikan kepentingan pemakanan dan gaya hidup sihat. Kesihatan kulit berkait rapat dengan pemakanan sihat. Ahli sains telah membuktikan bahawa ketidakseimbangan nutrien merupakan salah satu punca utama penuaan kulit. Oleh itu, mari kita lihat 5 nutrien yang paling disukai oleh kulit anda!



5 nutrien yang paling disukai oleh kulit anda:




1. Protein

Kulit kita mengandungi kolagen, iaitu sejenis protein yang menjadikan kulit kekal anjal dan licin. Apabila kita semakin tua, kolagen kulit akan hilang secara berperingkat. Walaupun ini adalah keadaan yang biasa, tetapi kita boleh melambatkan penuaan kulit dengan mengambil protein yang mencukupi untuk menggalakkan pembentukan kolagen. Contoh makanan berkualiti yang mempunyai protein yang tinggi adalah kekacang, ikan, telur dan daging.




2. Vitamin C

Vitamin C mempunyai pelbagai manfaat untuk kulit. Ia bukan sahaja dapat membantu mengahasilkan kolagen tetapi juga dapat mengurangkan pembentukan radikal bebas dan mengurangkan kerosakan sel. Selain itu, Vitamin C membantu mengurangkan penuaan kulit, mencerahkan kulit wajah dan menjadikan kulit lebih bersinar. Makanan yang kaya dengan Vitamin C adalah oren, kiwi, jambu batu, strawberi, lada benggala dan sebagainya.





3. Vitamin E

Vitamin E adalah perlindungan semula jadi yang membantu mengurangkan kesan buruk radikal bebas dan UV kepada kulit. Vitamin E juga dapat mengekalkan kelembapan dan keanjalan kulit, menjadikannya licin dan tegang serta mengurangkan kemunculan garis-garis halus dan kedutan. Makanan yang kaya dengan Vitamin E adalah badam, biji bunga matahari, avokado, sayur-sayuran hijau dan sebagainya.




4. Asid Lemak Omega-3

Asid lemak Omega-3 dapat memberikan kebaikan kepada badan kita secara dalaman dan luaran. Selain daripada sistem kardiovaskular, ia juga memberi manfaat yang banyak kepada kulit. Asid lemak Omega-3 mempunyai sifat anti-keradangan yang boleh membantu mengurangkan keradangan kulit dan reaksi alahan, mengekalkan keseimbangan kelembapan dan menjadikan kulit kelihatan muda dan berseri. Makanan yang kaya dengan asid lemak Omega-3 adalah salmon, sardin, jauzah, biji rami dan sebagainya.




5. Zink

Zink adalah salah satu mineral penting untuk badan yang membantu dalam pemulihan dan pembaharuan kulit. Apabila kita mengalami masalah jerawat, zink boleh menggalakkan penyembuhan luka dan regenerasi kulit. Selain itu, zink membantu mencegah kerosakan sel, menjadikan kulit bersih dan segar di samping mengekalkan penumbuhan rambut yang sihat dan mencegah keguguran rambut. Makanan yang kaya dengan zink adalah daging lembu, kacang kuda, biji labu, yogurt dan sebagainya.



Akhir sekali, anda tidak perlu mengambil semua makanan ini setiap hari. Anda hanya perlu memastikan tabiat pemakanan anda adalah seimbang dan bervariasi. Yang pentingnya, anda harus menjauhi makanan yang membahayakan kulit seperti gula dan makanan proses. Tambahan pula, elakkan terdedah kepada cahaya matahari dalam masa yang panjang, merokok, tidur lewat dan makan secara berlebihan. Kulit yang sihat merupakan hasil tabiat pemakanan yang baik dan sokongan nutrisi dalaman. Ingatlah, tabiat pemakanan dan gaya hidup yang sihat adalah asas kepada kulit yang cantik. Mari kita mulakan hari ini dengan membantu kulit kita menjadi lebih sihat!