Saiz Huruf :   BESAR    SEDERHANA    KECIL

Artritis adalah penyakit kronik yang biasa. Osteoartritis dan artritis reumatoid merupakan dua jenis penyakit artritis yang utama. Dalam artikel sebelum ini, kami telah memperkenalkan pengetahuan asas mengenai osteoartritis. Hari ini, kami akan berkongsi tentang artritis reumatoid dan bagaimana pemakanan dapat membantu mencegah serta melindungi kesihatan sendi!



Apakah Artritis Reumatoid?



Artritis reumatoid, juga dikenali sebagai artritis keradangan, adalah sejenis penyakit autoimun. Penyakit ini adalah berbeza dengan “reumatisme” yang kita sering dengar daripada generasi tua, yang biasanya menunjuk kepada artritis degeneratif. Artritis reumatoid berlaku apabila sistem imun menyerang sel-sel sihat dalam badan. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan kebengkakan dan kesakitan pada sendi, tetapi dalam kes yang serius, ia juga boleh menyebabkan kecacatan pada sendi. Walaupun situasi ini lebih kerap berlaku pada individu pertengahan umur, artritis reumatoid boleh melanda sesiapa sahaja tidak kira usia dan tidak terhad kepada golongan warga emas sahaja. Ia biasanya menyerang sendi-sendi pada tangan dan kaki serta kawasan lain seperti saluran darah, mata, mulut, jantung, paru-paru, kulit dan sebagainya. Ia adalah berbeza dengan osteoartritis sebab kesakitan akibat artritis reumatoid lebih ketara semasa berehat dan berkurangan semasa melakukan pergerakan ringan.



Adakah Sakit Sendi Berkaitan dengan Cuaca Hujan?



Ramai orang perasan bahawa kesakitan sendi mereka menjadi lebih teruk semasa hari hujan, malah ada yang mendakwa bahawa mereka boleh meramalkan cuaca berdasarkan ketidakselesaan pada sendi. Hal ini mungkin berkaitan dengan perubahan tekanan udara. Apabila tekanan udara menurun, tisu-tisu di sekitar sendi boleh membengkak, memberi tekanan pada sendi dan menyebabkan kesakitan. Walaupun perkara ini kekal sebagai teori dan saintis masih belum memahami punca sebenarnya, sakit sendi semasa cuaca hujan boleh menjadi tanda awal artritis seperti gout, artritis reumatoid atau osteoartritis. Jika sendi anda sakit semasa cuaca hujan, anda adalah disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor.



Pemakanan untuk Tulang Kuat dan Sendi Sihat


Tidak dapat dinafikan bahawa penjagaan kesihatan sendi berkait rapat dengan kekuatan tulang, dan pemakanan memainkan peranan penting untuk mencapainya. Berikut adalah beberapa nutrien utama yang bermanfaat:



1. Kalsium:



Kalsium adalah penting untuk kesihatan tulang. Tubuh badan kita tidak dapat menghasilkannya sendiri dan perlu mendapatkannya melalui pemakanan. Sumber kalsium yang baik termasuk keju, susu, kacang, sayuran hijau, tauhu dan kacang soya.



2. Vitamin D:



Vitamin D membantu penyerapan kalsium dan menguatkan tulang. Tubuh badan menghasilkan vitamin D secara semula jadi apabila terdedah kepada cahaya matahari, dan ia juga boleh diperoleh daripada makanan seperti salmon, telur, cendawan dan susu.



3. Asid Lemak Omega-3:



Asid lemak omega-3 terkenal dengan sifat anti-radang yang kuat dan dapat membantu melegakan sakit sendi. Sumber omega-3 yang biasa termasuk ikan kembung, salmon, sardin, biji rami, jauzah dan biji chia.



4. Polifenol:



Polifenol ialah antioksidan yang membantu mengurangkan keradangan pada sendi, meningkatkan kepadatan tulang dan mengurangkan risiko patah tulang. Makanan yang kaya dengan polifenol termasuk beri, epal, ceri, limau, teh hijau, teh halia, coklat gelap, dan sebagainya.




Walaupun artritis reumatoid boleh menjejaskan kehidupan harian, kesan buruk penyakit ini dapat diminimumkan melalui pengurusan yang betul dan diet yang seimbang. Amalan pemakanan sihat, digabungkan dengan aktiviti sendi yang kerap dan sederhana, boleh menyumbang kepada kesihatan sendi. Dengan mengekalkan amalan tersebut, anda boleh meningkatkan fleksibiliti sendi dan menikmati kehidupan yang lebih selesa!