27 June 2025
Adakah anda kerap berasa letih tanpa sebab yang jelas, kulit semakin kusam atau sering mengalami masalah kesihatan kecil? Ramai orang menganggap ini hanyalah tanda-tanda penuaan, tetapi sebenarnya, penyebab utamanya mungkin sesuatu yang kurang disedari — iaitu radikal bebas!
Radikal bebas ialah molekul tidak stabil yang akan merebut elektron daripada molekul lain, lalu merosakkan komponen penting dalam sel dan menyebabkan ketidakstabilan sel. Tubuh badan kita menghasilkan radikal bebas secara semula jadi, seperti ketika bernafas, makan atau bersenam. Dalam jumlah kecil, radikal bebas boleh membantu sistem imun melawan mikroorganisma berbahaya. Namun begitu, gaya hidup moden hari ini yang penuh dengan tekanan, kurang tidur, pemakanan tidak seimbang, pencemaran udara, pendedahan kepada skrin digital secara berlebihan, merokok dan sebagainya boleh meningkatkan penghasilan radikal bebas secara berlebihan. Jika dibiarkan berlarutan, kerosakan sel akibat daripada radikal bebas ini boleh terkumpul dari semasa ke semasa dan bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan, tetapi juga mempercepat proses penuaan dan meningkatkan risiko penghidapan penyakit kronik.
Tubuh badan kita mempunyai “sistem pertahanan” sendiri yang menghasilkan enzim antioksidan seperti superoksida dismutase (SOD) untuk meneutralkan radikal bebas. Namun begitu, apabila usia meningkat dan tabiat hidup tidak sihat berterusan, keupayaan badan untuk menghasilkan enzim ini akan menurun. Oleh itu, pengambilan nutrien antioksidan melalui pemakanan amat penting sebagai sokongan tambahan untuk melawan kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.
Cara paling mudah dan berkesan adalah dengan mengambil sekurang-kurangnya tiga hidangan sayur-sayuran dan dua hidangan buah-buahan setiap hari. Lagi berwarna-warni pilihan anda, lagi bagus kerana pigmen berbeza mewakili jenis antioksidan yang berlainan. Contohnya, makanan berwarna ungu mengandungi antosianidin, merah mengandungi likopena, dan oren mengandungi beta-karotena, semuanya merupakan antioksidan semula jadi yang kuat. Namun begitu, ramai yang gagal mengambil walaupun satu hidangan buah dan sayur sehari, terutamanya golongan dewasa yang sibuk bekerja, kanak-kanak yang cerewat dari segi pemakanan, dan mereka yang sering makan di luar.