14 November 2024
Artritis dan masalah sendi lain kini tidak lagi terhad kepada golongan warga emas, meskipun ramai yang percaya bahawa penyakit ini hanya dialami oleh orang tua. Artritis tidak semestinya disebabkan oleh kemerosotan sendi, sebab ia juga boleh timbul akibat daripada masalah dalam sistem imun. Topik ini akan dibahagikan kepada tiga bahagian. Sebagai bahagian yang pertama dalam siri ini, artikel ini akan membantu anda memahami artritis dengan lebih baik melalui penjelasan mengenai apakah itu artritis, jenis-jenisnya, gejala-gejala dan faktor-faktor yang menyumbang kepadanya.
Secara ringkasnya, artritis adalah keradangan dan kesakitan pada satu atau lebih daripada satu sendi. Ia boleh menjejaskan sendi kecil seperti sendi jari atau sendi yang lebih besar seperti pinggul atau lutut. Sendi yang terjejas sering menjadi kaku dan mungkin berubah bentuk, lantas mengganggu aktiviti harian.
· Ini adalah bentuk artritis yang paling biasa dan sering digambarkan sebagai "haus dan lusuh" pada sendi. Lama-kelamaan, rawan dalam sendi mula menjadi haus lalu menyebabkan geseran langsung antara tulang. Hal ini mengakibatkan kesakitan, kekakuan atau pembengkakan pada sendi.
· Artritis reumatoid adalah gangguan autoimun di mana sistem imun menjadi keliru lalu menyerang sel-sel yang sihat. Hal ini menyebabkan keradangan dan kesakitan pada sendi. Lama-kelamaan, ia mungkin merosakkan struktur sendi.
**Selain itu, artritis reumatoid juga boleh menyebabkan kekakuan yang lebih teruk selepas tempoh tidak bergerak yang panjang, terutamanya pada waktu pagi. Gejala lain termasuk keletihan, kelemahan, penurunan berat badan atau demam.
Beberapa faktor risiko mendapat artritis berada di luar kawalan individu seperti:
· Umur: Risiko meningkat dengan pertambahan usia
· Jantina: Wanita lebih terdedah berbanding dengan lelaki
· Sejarah keluarga
Faktor risiko mendapat artritis yang lain termasuk:
· Berat badan yang berlebihan atau obesiti
· Kekurangan aktiviti fizikal
· Kecederaan sendi atau sejarah jangkitan
· Risiko pekerjaan: Pekerjaan yang memerlukan penggunaan sendi secara berulang seperti kerja fizikal berat atau berdiri lama
· Diet: Diet yang tinggi gula dan lemak boleh meningkatkan keradangan
·Merokok
Memahami jenis-jenis artritis, gejala dan faktor-faktor risikonya adalah penting untuk pengenalpastian awal dan pencegahan. Mengamalkan gaya hidup sihat melalui senaman yang sesuai, pengurusan berat badan yang baik dan pemakanan seimbang boleh mengurangkan risiko mendapat artritis. Pendekatan proaktif ini membantu mengekalkan kesihatan sendi dan kualiti hidup secara keseluruhannya.